PEMAIN beregu lelaki negara, Man Wei Chong, memberi khabar lega apabila mengesahkan kecederaan lututnya tidak lagi menjejaskan pergerakan menjelang kempen Piala Thomas.
Menurutnya, keadaan itu menjadi suntikan keyakinan buat dirinya untuk tampil dalam prestasi terbaik di pentas berprestij berkenaan.
“Untuk saya, memang teruja sebab ini kali pertama saya sertai Piala Thomas dan ini peluang yang baik untuk mewakili Malaysia,” katanya, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Wei Chong berkata, tahap kecergasannya kini jauh lebih baik berbanding ketika beraksi di Seluruh England, sebelum ini.

“Kondisi saya agak baik berbanding sebelum ini dan di BAC pun kaki saya okey, tidak terlalu teruk,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui belum menjalani pemeriksaan terkini selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC), namun yakin tiada masalah serius.
Wei Chong turut menegaskan kecederaan adalah lumrah dalam karier atlet dan tidak mahu ia mengganggu fokusnya menjelang kejohanan besar itu.
“Bagi saya kecederaan itu biasa, yang penting bagaimana kita atasi dan kalau ada peluang latihan atau kejohanan, saya akan beri yang terbaik,” katanya lagi.
Dijangka menggalas peranan sebagai beregu kedua negara, beliau tetap bersedia menyumbang mata penting jika diberi kepercayaan.
“Saya gembira kalau dapat peluang bermain dan hanya mahu beri yang terbaik tanpa terlalu memikirkan tekanan,” katanya.




