STATUS kecederaan Lee Zii Jia terus mencetus kebimbangan apabila kelibatnya masih belum muncul di kem latihan pusat menjelang Piala Thomas, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.
Legenda badminton negara, Dato' Seri Lee Chong Wei mengakui pihaknya masih belum menerima gambaran jelas mengenai tahap kecederaan buku lali pemain itu.
“Kita tidak tahu sejauh mana keadaannya kerana dia belum datang ke latihan, jadi sukar untuk kita menilai,” katanya, ditemui di ABM.
Beliau tidak menolak ketiadaan pemain itu di gelanggang latihan, menjadikan proses pemantauan lebih mencabar buat barisan kejurulatihan negara.
“Mengenai Zii Jia, kita memang bimbang kerana Piala Thomas ini sangat penting untuk negara.
"Kita sentiasa mahu berikan yang terbaik untuk pasukan dan mahu buat persiapan yang rapi sebelum pergi bertanding," katanya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga sudah mendapatkan maklum balas dari Institut Sukan Negara (ISN) yang menyatakan kesediaan membantu proses pemulihan sekiranya diperlukan bagi memastikan pemain berada pada tahap terbaik.

“Saya sudah bercakap dengan doktor dan CEO ISN (Dr. P. Vellapandian Ponnusamy), mereka sedia membantu untuk melihat keadaannya dan memastikan dia bersedia,” jelasnya lagi.
Biarpun diseret isu tidak melaporkan diri ke kem latihan pysat Piala Thomas dan Uber, Chong Wei menegaskan hanya pemain yang benar-benar cergas akan dipertimbang untuk membawa cabaran negara ke pentas berprestij yang akan membuka tirai saingan 24 April hingga 3 Mei depan.
Namun, katanya Kenmeth sudah berhubung dengan jurulatih Zii Jia, Liew Daren: "Mungkin datang latihan esok, tapi bergantung kepada situasi Zii Jia, jika rasa sakit lagi, dia mungkin tidak datang latihan.
“Kita tidak akan bawa pemain yang tercedera ke Piala Thomas, kita mahu pemain yang 100 peratus fit,” tegasnya.
Situasi itu menjadi semakin kritikal apabila tarikh akhir menghantar senarai pemain ditetapkan pada 11 April ini.
Tekanan semakin memuncak apabila barisan kejurulatihan termasuk Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky perlu membuat keputusan berdasarkan maklumat yang terhad.
Kini, seluruh perhatian tertumpu kepada perkembangan Zii Jia dengan harapan ada berita positif sebelum tarikh akhir, demi memastikan kekuatan terbaik negara dapat diturunkan.




