JAGUH trek negara Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Trek di Tagaytay apabila memilih menumpukan sepenuh perhatian kepada Siri Piala Dunia (WTC) Trek UCI di Nilai bulan depan.
Keputusan strategik itu disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, menjelang kejohanan Asia yang berlangsung dari 25 hingga 31 Mac di Filipina.
Menurut Amarjit, keutamaan ketika ini adalah memastikan Azizulhasni berada pada tahap terbaik bagi menghadapi WTC yang akan berlangsung di Velodrom Nasional Nilai.

Katanya, PKBM melihat kejohanan di Nilai itu cukup signifikan kerana ia kembali dianjurkan di negara ini selepas lebih dua dekad.
“Kami di PKBM berpendapat lebih baik Datuk Azizulhasni memberi fokus penuh kepada Siri Piala Dunia Trek di Nilai,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pendekatan sama diambil terhadap Shah Firdaus bagi memastikan pelumba itu bersedia sepenuhnya menghadapi saingan bertaraf dunia.
Langkah itu sekali gus membuka ruang kepada pelumba muda negara untuk membawa cabaran Malaysia di Tagaytay.

Antara yang dijangka memanfaatkan peluang tersebut ialah pelumba meningkat naik Lau New Joe yang sedang menunjukkan perkembangan positif.
Amarjit percaya ACC Trek 2026 boleh menjadi pentas penting untuk pelumba muda menimba pengalaman berdepan pencabar terbaik Asia.
“Saya yakin pelumba seperti New Joe mampu mencipta kejutan dan kita perlu berani memberi peluang kepada mereka beraksi di pentas lebih besar,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui PKBM teruja dengan peningkatan prestasi Azizulhasni selepas aksi cemerlang di Perth minggu lalu.
Azizulhasni melonjak ke tangga ke-18 dunia selepas memenangi emas keirin dan gangsa pecut individu di Perth, manakala New Joe turut meningkat ke kedudukan ke-17 dunia.

Peningkatan itu dianggap petanda positif dalam usaha mempersiapkan pelumba negara menghadapi Sukan Komanwel, Sukan Asia 2026 dan kelayakan ke Sukan Olimpik 2028.




