LIMA presiden persatuan sukan negara dipilih mengetuai kontinjen Malaysia ke lima temasya utama antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus memberi bayangan rombakan besar kepimpinan misi sukan negara.
Pelantikan itu diumumkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas cadangan berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif badan itu pada 10 Mac lalu.
Keputusan penting berkenaan turut menerima lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari bagi memastikan perancangan kontinjen negara berjalan lebih tersusun.
Bagi cabaran terbesar di Sukan Asia 2026, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan diberi tanggungjawab memimpin kontinjen negara.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah berani memandangkan Sumali akan mengetuai misi Malaysia di temasya Asia yang menghimpunkan atlet terbaik benua itu.
Bagi Sukan Komanwel 2026, tugas ketua kontinjen pula diserahkan kepada Presiden Persatuan Lawn Bowls Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz.
Temasya Sukan SEA 2027 pula menyaksikan pendekatan berbeza apabila dua ketua kontinjen dilantik bagi mewakili wilayah berasingan.

Norza (kanan) yakin pemilihan awal penting bagi memastikan persiapan dapat dilakukan lebih rapi.
Presiden Persekutuan Taekwondo Malaysia Azizul Annuar Adenan akan mengetuai kontinjen dari Malaysia Timur.
Bagi Malaysia Barat pula, tanggungjawab itu dipikul Presiden Persekutuan Tinju Malaysia Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.
Dalam masa sama, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt dilantik sebagai ketua kontinjen bagi Sukan Pantai Asia 2026.
Sementara itu, bekas atlet negara Wong Weng Son akan menggalas tanggungjawab mengetuai kontinjen ke Sukan Olimpik Remaja 2026.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pelantikan awal itu penting bagi memastikan semua persiapan dapat dilakukan dengan lebih rapi.
Menurutnya, barisan ketua kontinjen berpengalaman ini diharapkan mampu memastikan penyertaan Malaysia berjalan lancar selain memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
Beliau turut berharap kepimpinan yang dipilih itu mampu menjadi pemangkin semangat kepada atlet negara untuk mengharumkan nama Malaysia di setiap temasya disertai.




