PEJAM pelik pejam celik, tahu-tahu dah nak raya. Rasanya baharu semalam sibuk bersahur awal Ramadan, sekarang lagu raya pula dah mula berkumandang di pusat membeli-belah dan media sosial.
Inilah magis Syawal, datangnya sentiasa terasa cepat, tapi debarannya tetap sama setiap tahun.
Tahun ini menyaksikan persiapan raya yang lebih santai tetapi tetap bergaya. Jika diperhatikan, majoriti rakyat Malaysia tahun ini memilih konsep minimalis moden sebagai tema baju raya.
Warna-warna lembut seperti sage green, dusty blue, champagne beige dan pastel semakin menjadi pilihan kerana nampak elegan serta mudah dipadankan untuk gambar keluarga.

Menariknya, trend sedondon keluarga masih kekal popular, namun dengan sentuhan lebih matang. Ramai yang memilih tona warna yang sama tetapi dengan rekaan berbeza. Ayah dengan baju Melayu klasik, ibu dengan kurung moden, manakala anak-anak tampil dengan potongan lebih kasual dan selesa. Keselesaan kini menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila aktiviti ziarah raya mengambil masa seharian.
Di media sosial pula, baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi menjadi sebahagian daripada ekspresi diri. Ramai berkongsi persiapan OOTD raya, dari sesi fitting hinggalah idea pose keluarga pagi Syawal. Raya kini bukan sahaja tentang tradisi, tetapi juga tentang mencipta memori yang boleh dikenang lama.

Walau apa pun tema dan warna pilihan tahun ini, hakikatnya Hari Raya tetap membawa makna yang sama, masa untuk kembali kepada keluarga, memohon maaf dan meraikan kebersamaan selepas sebulan menahan diri.
Syawal pasti akan berlalu, namun mungkin masa terbaik untuk menikmati setiap momen sama ada bermula dengan memilih baju raya, menghias rumah, hinggalah ketawa bersama insan tersayang di pagi Aidilfitri.




