LAPORAN audit dalaman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan pelbagai kepincangan struktur dan tatakelola di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
AFC juga mendapati masalah tersebut berlaku secara menyeluruh merentasi hampir semua jabatan dalam organisasi berkenaan dengan pelbagai saranan turut diberikan oleh badan induk bola sepak Asia itu.
Dapatan audit yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM 2026 itu menunjukkan FAM menerima skor antara 1.2 hingga 2.0 dalam penilaian keupayaan organisasi merangkumi 11 aspek termasuk tadbir urus, kewangan, pentadbiran, sumber manusia, pertandingan, pemasaran, media dan pembangunan bola sepak.
Susulan dapatan itu, AFC mengemukakan pelan reformasi menyeluruh yang dibahagikan kepada beberapa fasa dalam tempoh sehingga 2 tahun bagi memperkukuhkan struktur pentadbiran FAM.
AFC menjelaskan reformasi itu perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko operasi dan memastikan FAM dapat bergerak sebagai organisasi bola sepak moden yang memenuhi standard antarabangsa.
AFC turut mencadangan pindaan statut baharu kepada ahli gabungan berdasarkan 'best practice' yang diamalkan untuk dipertimbangkan dan diluluskan pada EGM badan induk itu.
Statut yang mencadangkan carta organisasi baharu pentadbiran FAM itu akhirnya mendapat persetujuan dari semua 18 ahli gabungan bagi melihat FAM menjadi lebih mantap di masa akan datang.
Dalam masa yang sama, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan dia mungkin tidak akan bertanding jawatan presiden bagi memberi laluan buat muka baharu untuk menerajui FAM.