AFC syorkan pengurusan skuad kebangsaan dikembalikan kepada FAM

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengesyorkan agar pengurusan skuad kebangsaan Harimau Malaya dikembalikan semula kepada FAM seperti sediakala.

Ketika ini pengurusan skuad kebangsaan diasingkan dari FAM dengan diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak AFC, Datuk Seri Windsor John yang ditemui selepas tamat Kongres Luar Biasa FAM (EGM) menyatakan bahawa pihaknya telah mengesyorkan perkara ini selepas AFC selesai mengadakan audit dalaman terhadap FAM.

Cadangan ini akan menyaksikan skuad kebangsaan kembali diuruskan sepenuhnya oleh badan induk itu dengan beberapa perubahan dalam struktur dan tatakelola profesional yang baharu.

Dalam perkembangan yang sama, AFC mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Tertinggi FAM yang baharu dilantik di kalangan warga Malaysia yang mempunyai lima tahun pengalaman dalam bola sepak.

"Individu itu mestilah warga Malaysia, bermastautin atau mempunyai kediaman di Malaysia dan berpengalaman lebih lima tahun dalam bola sepak. Ini adalah harapan baharu buat bola sepak Malaysia," katanya dalam sidang media.

Perubahan ini perlu untuk mengembalikan semula keyakinan semua pihak terhadap FAM dengan pemilihan exco baharu dijadualkan pada September nanti.