Pahang Mammoth ‘all-out’, mahu kembali ke STL Premier

PERSATUAN Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP) tampil dengan pelaburan besar musim ini apabila membawa masuk beberapa nama berprofil tinggi demi merealisasikan misi membawa Pahang Mammoth kembali ke saingan STL Premier.

Presiden PSTNP, Datuk Abu Jimi Samat berkata, kehadiran bekas pemain kebangsaan dan import Thailand membuktikan kesungguhan pasukan itu untuk bangkit selepas sekian lama beraksi di Divisyen 1.

"Demi mengembalikan pasukan ke divisyen Premiere, saya dan PSTNP berinkuasa penuh kepada Timbalan Presiden PSTNP Azrik Rizal Yusof Mohd Sarit untuk membentuk pasukan mantap," kata Abu Jimi dalam sidang media memperkenalkan pemain Pahang di Hotel Fox, Shah Alam.


Menurutnya, Pahang Mammoth tidak lagi mahu sekadar menjadi pencabar biasa sebaliknya mahu kembali berada dalam kelompok elit sepak takraw negara musim depan.

Pahang mengumumkan kemasukan bekas pemain antarabangsa Hairul Hazizi Haidir, Khairol Zaman Hamir Akbar, Norfaizzul Abd Razak dan Ariff Daniel Mohammad Aripin bagi memperkuatkan skuad musim ini.

Malah, PSTNP turut ‘menggegarkan’ pasaran apabila kembali membawa masuk pemain Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha yang dijangka menjadi sandaran utama pasukan itu nant

Pahang yang pernah tersingkir daripada STL Premier pada 2018 kini tekad menamatkan penantian panjang untuk kembali bersaing di pentas tertinggi liga sepak takraw tempatan.

Sementara itu, Azril Rizal berkata, dengan barisan pemain yang diimport Pahang kali ini, beliau yakin maruah Pahang Mammoth kembali dimartabatkan sekali gus naik semula ke divisyen Premiere.

"Pemain Thailand, Pongsatorn adalah tekong yang berada dalam senarai akhir skuad Thailand ke kempen Piala Dunia ISTAF tahun ini, cuma tidak terpilih ke dalam skuad kebangsaan negaranya. Malah sebelum Pongsatorn bersetuju, dia bertanya pada kita siapa lagi barisan pemain yang akan mewakili Pahang Mammoth dan setelah meneliti baru memberi persetujuan kerana dia sendiri yakin mampu bergandingan dengan baik.

"Malah, Khairol Zaman dan Ariff Daniel yang sebelum ini bersama Selangor adalah juara terbaharu Piala Emas Khir Johari.

"Kita juga mempertaruhkan dua bekas pemain kebangsaan yang memenangi pingat gangsa acara chinlone di Sukan SEA lalu iatu Hairul Hazizi dan Norfaizzul," kata Azril Rizal.

Difahamkan Azril Rizal yang juga presiden Kelab Takraw JJ Tornado menaja sepenuhnya skuad Pahang Mammoth dan SUKMA Pahang yang dianggarkan lebih RM100,000.