PEMAIN yang bernaung Persatuan Badminton Malaysia berisiko digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa apabila Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan tiada lagi layanan istimewa diberikan kepada pemain senior yang gagal mematuhi disiplin ditetapkan.
Beliau berkata, semua pemain termasuk nama besar negara perlu mematuhi standard sama seperti pemain junior demi memastikan budaya profesional terus subur di kem latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurutnya, keputusan mewajibkan pemain senior tinggal bersama pemain junior di asrama ABM dibuat bagi membentuk contoh terbaik kepada pelapis negara.
“Kita tidak akan beri special treatment kepada pemain senior kerana tahap disiplin mesti sama untuk semua,” katanya, selepas menghadiri program pembangunan akar umbi Kelab Badminton Ampang Jaya, di Ampang.
Kenyataan tegas itu hadir susulan pendedahan legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei yang sebelum ini membangkitkan isu disiplin pemain BAM sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Tengku Zafrul turut mengakui beliau sudah mengadakan perbincangan bersama Chong Wei dan mendapat persetujuan Ahli Majlis mengenai keperluan memperkukuhkan disiplin pemain senior, junior dan pelapis dalam usaha melahirkan atlet lebih kompetitif.
Katanya, peningkatan prestasi pemain muda seperti Low Zi Yu dan Nuraqilah Maisarah Ramdan menjadi bukti disiplin tinggi mampu membantu pemain tampil lebih konsisten di pentas antarabangsa.