SAINGAN di Masters Malaysia bakal diharungi tanpa tekanan oleh beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berikutan tumpuan utama diarahkan ke Terbuka Singapura dan Indonesia, selepas ini.
Menurut Aaron, dua kejohanan iaitu di Singapura dan Indonesia memegang status lebih besar berbanding Masters Malaysia dan sebagai beregu elit dunia, mereka fokus kepada kejohanan bertaraf Super750 dan Super1,000.
"Kejohanan ini lebih rileks buat kami kerana lebih fokus kepada Singapura dan Indonesia selepas ini, tapi beraksi di laman sendiri tetap kami mahu berikan yang terbaik," kataAaron, ditemui pada sesi uji gelanggang Masters Malaysia di Unifi Arena.
Begitupun dia mengakui, tugas memburu gelaran di laman sendiri bukan hanya terletak di bahu mereka.
"Kita ada 3… 4 pair dari BAM dan banyak lagi pasangan Malaysia (prpfesional) pada kejohanan ini, jadi saya rasa semuanya ada peluang tinggilah."
Mengikut undian awal, gandingan nombor 2 dunia itu akan membuka saingan menentang beregu Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo di pusingan pertama.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di Masters Malaysia adalah ketika muncul naib juara tahun lalu selepas tunduk kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.