Hakim Danish gigit jari di Catalunya

Foto: ZK RACING

IMPIAN pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk meraih podium sulung Moto3 lebur hanya kerana satu kesilapan kecil melakukan brek pada pusingan terakhir GP Catalunya di Barcelona, semalam.

Aksi penuh berani ditampilkan anak muda Terengganu itu bagaimanapun belum cukup untuk menempatkannya dalam kelompok tiga terbaik apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu menamatkan saingan 18 pusingan di Litar de Barcelona-Catalunya dengan catatan 32 minit 29.587 saat untuk membawa pulang sembilan mata berharga.
Hakim Danish memulakan perlumbaan dengan cukup garang apabila berjaya menyelit dalam kelompok hadapan sebaik lampu hijau dilepaskan.

Sepanjang perlumbaan, pelumba berusia 18 tahun itu dilihat tenang mengawal posisi sambil beberapa kali melakukan pintasan berani ke atas pencabar di depannya.

Menurut Hakim Danish, perlumbaan di Catalunya membuka matanya mengenai corak sebenar pertarungan di peringkat tertinggi terutama cara pelumba elit mengawal rentak perlumbaan.

Katanya, dia perlu tampil lebih agresif selepas ini jika mahu terus bersaing dalam kelompok pendahulu terutama ketika memintas dan mempertahankan posisi.

“Saya bermula dengan cukup baik dan berjaya berada bersama kelompok hadapan sejak awal perlumbaan,” katanya.
Momentum terbaiknya hadir pada pusingan terakhir apabila dia hampir mencuri tempat podium sebelum kesilapan terlebih membrek di selekoh ke-10 memusnahkan peluang itu.

“Beberapa kali juga saya berjaya memintas pelumba di depan dan banyak perkara baharu yang saya pelajari terutama cara mereka mengawal perlumbaan."

Meskipun kecewa terlepas podium, Hakim Danish menganggap aksi di Barcelona sebagai pengalaman paling bermakna dalam kariernya setakat ini kerana semakin hampir mencabar kelompok elit Moto3.

Keputusan di Catalunya itu turut melonjakkan Hakim Danish ke tangga ke-11 keseluruhan Moto3 dengan kutipan 27 mata selepas enam pusingan perlumbaan musim ini.