Jun Hao 'kunci mulut' berkaitan kontroversi disiplin

KONTROVERSI disiplin yang melanda Leong Jun Hao tidak menggugat fokusnya apabila tekad mahu memberi sepenuh perhatian terhadap cabaran Masters Malaysia 2026 yang membuka tirai esok.

Pemain perseorangan lelaki negara itu memilih untuk mengunci mulut mengenai isu panas berkenaan demi memastikan tumpuannya tidak terjejas ketika beraksi di halaman sendiri.

“Sementara ini saya tak ada komen sangat pasal benda itu dan saya hanya fokus kepada kejohanan serta buat yang terbaik,” katanya selepas sesi uji gelanggang di Unifi Arena, Isnin.

Pada Ahad, Datuk Seri Lee Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan Jun Hao menerima amaran terakhir supaya segera memperbaiki disiplin dan kembali fokus terhadap prestasi.
Pemain ranking ke-25 dunia itu bagaimanapun mengakui dia pernah tidak hadir ke latihan seperti yang diperkatakan pihak pengurusan BAM.

“Waktu itu memang saya ada terlepas latihan sebab ada alasan tertentu dan ia membabitkan masalah peribadi,” katanya.

Jun Hao bagaimanapun enggan terus hanyut dengan polemik berkenaan kerana percaya Masters Malaysia adalah medan terbaik untuk membuktikan kemampuan sebenar di gelanggang.

Menurutnya, dia kini lebih selesa memandang ke depan berbanding terus dibelenggu isu yang boleh mengganggu rentak persiapannya.

“Saya rasa tetap fokus saja dan hanya mahu pandang ke depan,” katanya.

Dalam masa sama, pemain berusia 27 tahun itu mahu meletakkan tekanan tinggi ke atas dirinya sebaliknya memilih pendekatan lebih tenang sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sasaran saya seperti biasa iaitu ambil satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.