BAHANG Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026 mula dirasai apabila edisi ke-42 secara rasmi membuka tirai dengan aksi minggu pertama yang cukup sengit, sekali gus memberi amaran awal perebutan takhta musim ini bakal berlangsung panas.
Empat perlawanan pembukaan semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan tampil garang dalam usaha memburu kejuaraan kejohanan paling berprestij dalam kalendar ragbi tanah air itu.
Johor mencuri tumpuan apabila membelasah Putrajaya 45-5 di Stadium Olahraga Mount Austin sekali gus menghantar mesej jelas bahawa naib juara musim lalu itu hadir dengan misi besar musim ini.
Terengganu pula membuktikan karakter sebenar apabila menewaskan Kuala Lumpur 25-24 menerusi aksi dramatik di Padang Astaka, Petaling Jaya yang berlarutan sehingga wisel penamat.
Kelantan turut mencipta kejutan terbesar minggu pertama apabila menundukkan juara bertahan PDRM 26-24 di UPM Serdang dalam perlawanan yang berlangsung penuh intensiti.
Negeri Sembilan yang kembali menyertai kejohanan selepas berehat juga tidak mahu sekadar menjadi pelengkap jadual apabila membuka kempen dengan kemenangan 28-15 ke atas Kedah di Universiti Malaya.
Keputusan minggu pertama itu menyaksikan landskap persaingan musim 2026 tampak lebih terbuka dengan hampir semua pasukan dilihat memiliki kemampuan mencabar kelompok pilihan.
Untuk rekod, PDRM muncul juara keseluruhan edisi 2025 diikuti Johor selaku naib juara manakala Kelantan menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.
Saingan minggu kedua pada 16 Mei ini dijangka terus panas dengan tumpuan terarah kepada aksi ATM menentang Johor di Pangkalan TUDM Subang selain pertembungan Terengganu dan Kelantan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu.
Selain memburu kejuaraan Piala Agong, kejohanan itu juga menjadi pentas penting pemilihan pemain kebangsaan bagi menghadapi Union Cup SEA Men’s 15s Championship 2026 di Bangkok serta Asia Rugby Men’s Championship Division 1 hujung tahun ini.