PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) terus mengangkat nama atlet negara yang berjasa, apabila memilih jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan pelumba trek para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin sebagai penerima Anugerah Khas sempena Anugerah SAM-100PLUS 2025.
Muhammad Irfan sekali lagi membuktikan statusnya sebagai raja lempar cakera Asia Tenggara apabila menghadiahkan emas sambil memecahkan rekod temasya pada Sukan SEA Thailand 2025.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 30 tahun berkenaan meraih emas individu ketujuh berturut-turut sejak mula mendominasi acara itu pada edisi Myanmar 2013.
Siapa sangka bekas pemain ragbi dan bola baling itu akhirnya menemui ‘rumah’ sebenar dalam acara lempar cakera selepas membuat keputusan memberi fokus penuh terhadap sukan berkenaan pada usia 17 tahun.
Nama Muhammad Irfan mula meledak selepas dinobatkan Olahragawan Sukma ke-17 apabila mencipta rekod kebangsaan baharu menerusi lontaran sejauh 54.26 meter untuk memadam catatan lamanya 53.16m.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu kemudian terus garang di pentas serantau sebelum meleburkan rekod berusia 26 tahun milik atlet Singapura, Wong Tuck Yim, dengan lontaran sejauh 60.23m.
Dalam kem para pula, Mohamad Yusof membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila kayuhan santainya bersama bapa di kampung ketika remaja kini membawa dirinya muncul juara dunia di Rio de Janeiro.
Pelumba berusia 28 tahun itu mencipta sejarah tersendiri apabila muncul atlet para Malaysia pertama menyarung Jersi Pelangi selepas menjuarai acara MC1 200 meter Flying Sprint di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025.
Mohamad Yusof yang baru mendirikan rumah tangga sebelum ini turut menghadiahkan pingat gangsa dunia pada 2020 selain pernah menyumbang emas, perak dan gangsa di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 serta perak Sukan Para Asia Jakarta 2018.
Naib Presiden SAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengajur Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pengiktirafan itu diharap mampu membakar semangat atlet negara kerana setiap kejayaan hadir bersama pengorbanan, kesabaran dan kerja keras luar biasa.