JURULATIH perseorangan lelaki negara, Liew Daren, berharap Lee Zii Jia diturunkan seawal aksi Piala Thomas bagi mengembalikan sentuhan kompetitifnya.
“Saya mahu dia bermain sebab dia kurang menyertai kejohanan sebelum ini dan saya mahu dia dapatkan semula rasa perlawanan (tournament feeling),” kata Daren ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Beliau bagaimanapun menjelaskan keputusan itu masih bergantung kepada perbincangan bersama barisan jurulatih lain menjelang aksi di Denmark.
Mengulas perkembangan terkini, Daren berkata, “dari minggu lepas hingga minggu ini, semuanya baik dan intensiti latihan pun sudah dinaikkan, jadi so far so good.”Katanya, tahap kecergasan Zii Jia masih belum berada pada tahap maksimum, namun menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Belum 100%, tapi sekarang dalam 70 hingga 80 peratus dan kita akan push lagi minggu ini untuk capai 100% di Denmark nanti,” katanya.Beliau turut mengesahkan kecederaan membabitkan bahagian buku lali dan tendon Achilles, namun pemain itu kini sudah kembali menjalani latihan penuh tanpa masalah.
“Sekarang dia sudah full training, semua pergerakan kaki (footwork) sudah boleh buat,” katanya.
Kempen Piala Thomas kali ini, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dengan aksi pembukaan menentang England diikuti Finland sebelum bertemu Jepun.“Saya rasa perlawanan pertama dengan England dan kemudian Finland mungkin tidak terlalu sukar, dan selang sehari itu memang bagus untuk dia,” kata Daren.




