BROOKS kini mengorak langkah agresif apabila menyasarkan atlet kebangsaan daripada pelbagai sukan untuk menggunakan kasut berprestasi tinggi yang menekankan aspek keselesaan dan keselamatan.
Pendekatan itu dilihat sebagai strategi baharu dalam membantu atlet negara mencapai tahap prestasi optimum menerusi sokongan peralatan yang tepat.
Pengarah Paragon Vest, Victor Tiew menegaskan, jenama itu tidak lagi tertumpu kepada sukan larian semata-mata, sebaliknya membuka ruang kepada semua disiplin.
Menurutnya, setiap atlet tanpa mengira sukan memerlukan elemen kecergasan asas seperti kardio dan larian dalam rutin latihan mereka.

“Tak kira apa sukan, semua atlet perlu lakukan kardio dan larian, jadi di situlah kami boleh bantu dari segi sokongan dan perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pembukaan semula stor Brooks di Sunway Pyramid yang berlangsung meriah dengan kehadiran atlet elit negara.
Setakat ini, seramai 11 atlet sudah berada dalam radar dan menerima tajaan daripada syarikat berkenaan.
Victor menjelaskan fokus utama adalah memastikan atlet mendapat sokongan terbaik dalam latihan harian bagi mengekalkan prestasi konsisten.
Tambahnya, teknologi kusyen moden serta sokongan kaki yang ditawarkan mampu mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan atlet.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin.
Turut memeriahkan acara ialah atlet berbasikal trek Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Nur Aisyah Mohamad Zubir dan Anis Amira Rosidi.

Kehadiran barisan atlet termasuk Amisha Azril, Qabil Irfan Azlan serta Zulfahmi Khairuddin bukan saja menyemarakkan acara, malah membuka potensi kolaborasi demi memperkasa kecergasan atlet negara di pentas antarabangsa.




