PUBG MOBILE terus mengorak langkah agresif apabila menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam usaha memperkasa bakat e-sukan negara.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai itu dilihat sebagai lonjakan besar dalam pembangunan industri permainan digital di peringkat kampus.
Kerjasama berskala nasional itu merangkumi rangkaian kampus UiTM di seluruh negara, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk menyerlah.
Melalui inisiatif ini, pelajar berpeluang menikmati penempatan akademik, latihan industri serta peluang penyelidikan dalam bidang berkaitan.

Tidak terhenti di situ, penglibatan aktif pelajar turut diperkukuh menerusi penubuhan kelab e-sukan rasmi dan penganjuran kejohanan kompetitif.
Langkah ini sekali gus memberi pentas kepada pelajar untuk mengasah bakat serta membina kemahiran kreatif dalam suasana kompetitif.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam penganjuran simposium, persidangan dan kursus jangka pendek berkaitan industri digital.
Usaha itu membuka laluan kepada perkongsian ilmu serta perkembangan terkini dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan pembangunan pelajar.
Pada masa sama, kejohanan kampus PUBG MOBILE bakal diperluaskan ke seluruh UiTM sebagai platform mencungkil bakat ke peringkat profesional.

Menurut Pengurus Produk PUBG MOBILE Ashley Phuah, kerjasama itu menjadi langkah awal untuk merapatkan jurang antara minat pelajar dan peluang kerjaya dalam industri e-sukan.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datik Ts Dr. Shahrin Sahibuddin berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen universiti melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang baharu.
Kerjasama ini sekali gus mengukuhkan peranan PUBG MOBILE dalam membina ekosistem e-sukan negara yang lebih mampan dan berdaya saing.




