PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencuri tumpuan apabila merekodkan masa terpantas musim ini dalam acara 100 meter (m) dengan catatan 10.17 saat (s) pada saingan Tom Jones Memorial di Percy Beard Track, Gainesville, Florida awal pagi tadi.
Catatan bertenaga itu turut muncul antara yang terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus memberi suntikan moral buat Azeem untuk terus memburu masa lebih tajam selepas ini.
Penuntut Universiti Auburn itu menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan, namun tetap mencuri perhatian apabila muncul pelari ketiga terbaik buat universitinya.

Lebih menarik, dua rakan sepasukannya menguasai perlumbaan apabila Kanyinsola Ajayi muncul juara dengan 9.90s diikuti Israel Okon yang mencatat 9.95s.
Momentum positif yang dipamerkan pelari kelahiran Perak itu jelas memberi bayangan cerah buat kem olahraga negara menjelang temasya besar akan datang.
Azeem kini dilihat antara sandaran utama negara untuk menghadirkan kilauan pingat terutama menjelang Sukan Asia 2026.
Dia sebelum ini sudah membuktikan kemampuan di pentas Asia apabila meraih pingat gangsa pada edisi 2022.
Untuk rekod, pelari berusia 22 tahun itu masih memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.




