PELANTIKAN pakar renang Amerika Syarikat (AS), Michael Kinross sebagai ketua jurulatih skuad renang kebangsaan bermula 1 Mei 2026 menjadi titik perubahan besar dalam usaha Malaysia Aquatics (MAS) melonjakkan standard sukan itu ke tahap lebih tinggi.
Kinross hadir dengan reputasi kukuh selepas berkhidmat bersama Universiti Pittsburgh dalam program NCAA Divisyen I yang sedang meningkat naik di bawah kendalian jurulatih berpengaruh, Chase Kreitler.
Sebelum itu, beliau menghabiskan lapan tahun bersama Sandpipers of Nevada di bawah bimbingan Ron Aitken, sebuah program pembangunan elit yang melahirkan ramai atlet bertaraf Olimpik.

Setiausaha Agung Akuatik Malaysia (MAS), Andy Low menegaskan pelantikan itu mencerminkan komitmen badan induk berkenaan dalam membina sistem prestasi tinggi yang mampan untuk renang negara.
Menurutnya, pengalaman Kinross dalam membangunkan atlet dari peringkat remaja hingga ke pentas antarabangsa amat bertepatan dengan keperluan semasa Malaysia.
Dalam pada itu, Pengarah Teknikal MAS, Megan Oesting pula menyifatkan pemilihan Kinross dibuat secara teliti dengan menitikberatkan pengalaman prestasi tinggi serta keupayaan membentuk budaya pasukan yang kukuh.
Kinross juga memiliki pengalaman antarabangsa sebagai penolong jurulatih Pasukan AS di Kejohanan Renang Air Terbuka UANA 2019 dan Kejohanan Dunia Remaja FINA 2022.
Selain itu, beliau pernah membimbing 20 atlet senior berprestasi tinggi di Sandpipers of Nevada serta membantu Bishop Gorman High School meraih pengiktirafan Jurulatih Terbaik 2023 NIAA 5A Southern Regional.

“Saya berbesar hati menerima peluang untuk berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Renang Kebangsaan Malaysia dan saya teruja dengan peluang untuk memimpin, membantu membina program serta menyumbang kepada perkembangan berterusan renang Malaysia,” kata Kinross, dalam kenyataan diedarkan MAS.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan atlet, barisan kejurulatihan dan kepimpinan persekutuan dalam memperkukuh pembangunan atlet serta memburu kejayaan di pentas serantau dan antarabangsa.




