IMPIAN yang pernah terlepas di pentas Olimpik kini menjadi bahan bakar buat Lee Meng Yean untuk membentuk generasi juara masa depan.
Daripada gelanggang ke gelanggang, fikirannya tidak lagi berkisar tentang dirinya, sebaliknya tertumpu kepada siapa bakal menjadi bintang seterusnya negara.
Menerusi Future Champs Badminton Academy, bekas Olympian itu kini mengemudi hampir 300 bakat muda dalam usaha membina asas kukuh sejak di peringkat akar umbi.

Dalam mindanya, pembangunan tidak boleh tergesa-gesa, justeru latihan bermula seawal usia enam hingga 12 tahun bagi membentuk disiplin dan teknik yang betul.
Bagi kelompok 12 hingga 15 tahun pula, intensiti latihan ditingkatkan kerana di situlah garis pemisah antara sekadar minat dan laluan ke pentas elit.
Bekas gandingan Chow Mei Kuan itu percaya sistem latihan tersusun ala kebangsaan mampu mempercepatkan proses melahirkan pemain berkualiti tinggi.
Di belakang tabir, pendekatan profesional menjadi tunjang apabila beliau berganding dengan rakan kongsi Zhang Hong Yu dalam merangka modul latihan moden.

Kerjasama dengan makmal fisiologi, M-Lab yang diasaskan Ooi Yu Hang pula melengkapkan ekosistem latihan setaraf skuad kebangsaan.
Bagi Meng Yean, akses kepada kemudahan seperti fisioterapi dan gimnasium bukan lagi kemewahan, sebaliknya keperluan asas untuk membentuk atlet kompetitif.
Walaupun memiliki sistem profesional, beliau kekal berpegang kepada prinsip bahawa pembangunan bakat tidak harus dibebankan dengan kos tinggi, cukup dengan yuran minimum demi membuka peluang seluasnya.
Dalam diam, impiannya jelas – mahu melahirkan ‘next’ Lee Zii Jia, Pearly Tan–M. Thinaah atau Aaron Chia–Soh Wooi Yik sebagai legasi masa depan negara.
Dan permulaan itu sudah kelihatan apabila empat anak didiknya berjaya menembusi skuad negeri di bawah Persatuan Badminton Kuala Lumpur, seolah-olah memberi isyarat perjalanan mimpinya baru sahaja bermula.




