JATUH di kelayakan bukan noktah buat Hakim Danish Ramli, sebaliknya menjadi titik mula kebangkitan penuh berani di bumi Austin.
Di Circuit of The Americas, pelumba muda negara itu membawa satu tekad dalam fikiran - bangkit walau bermula dari petak terakhir.
“Secara keseluruhan, perlumbaan di USGP ini sukar buat saya,” katanya, mengakui cabaran bermula sebaik dia terjatuh di sesi kelayakan.
Insiden itu menyebabkan dia gagal mencatat masa dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-25, satu situasi yang menguji mental serta fokusnya.
“Dalam perlumbaan, saya tidak berputus asa dan berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-13 keseluruhan,” katanya, menggambarkan semangat juang yang tidak luntur.

Seawal perlumbaan, Hakim Danish sudah mula memintas pelumba lain, terutama dalam tiga pusingan pertama yang menjadi kunci kebangkitannya.
“Ia sememangnya mencabar kerana saya perlu memintas ramai pelumba, terutama dalam tiga pusingan awal,” katanya lagi.
Dalam kelompok pelumba yang laju, setiap ruang menjadi peluang dan setiap selekoh menuntut keberanian luar biasa.
“Ketika itu, semua pelumba berada dalam keadaan laju dan saya perlu mencari ruang pada setiap pusingan serta di setiap selekoh untuk memintas,” kata pelumba asal Terengganu itu.
Usahanya berhasil apabila dia berjaya memintas seorang demi seorang pelumba di hadapannya, sekali gus memperbaiki kedudukan.
“Alhamdulillah, saya berjaya memintas seorang demi seorang pelumba hadapan saya,” katanya yang turut berdepan cabaran pengurusan tayar.

Menurutnya, penggunaan tayar kompaun lembut di litar panjang dan teknikal seperti COTA menuntut kawalan jentera yang lebih teliti.
“Saya juga hampir terjatuh pada baki lima pusingan terakhir, namun berjaya mengawal keadaan dengan baik,” katanya lagi.
Mengakhiri perlumbaan di tempat ke-13 dengan tiga mata, Hakim Danish mengakui banyak pengajaran dipelajari dan berjanji akan terus bekerja keras menjelang aksi seterusnya di Jerez.




