Juara Komanwel Aniq Kasdan Mahu Soto dan Mi Goreng

BUKAN hadiah atau sambutan meriah yang bermain di fikiran jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan sebaik tiba di tanah air, sebaliknya semangkuk soto dan sepinggan mi goreng air tangan ibunya yang sudah lama dirindui.

Selepas berminggu-minggu 'berperang' dengan roti dan hidangan Barat sepanjang kem latihan di Turkiye serta saingan Sukan Komanwel Glasgow, Aniq mengakui dia tidak sabar untuk menikmati semula makanan kegemarannya.

Jaguh berusia 24 tahun itu berkata, masakan ibunya menjadi perkara pertama yang ingin dinikmati selepas menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia di Glasgow.
"Pertama sekali saya nak makan masakan mak kerana di Turkiye setiap pagi makan roti dan makanan Eropah sahaja, jadi bila balik nanti saya nak makan soto, mi goreng dan semua makanan tempatan sebab memang dah lama sangat rindu," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerinduan terhadap makanan tempatan hadir seiring kejayaan manis Aniq mempertahankan gelaran Sukan Komanwel kategori 60 kilogram (kg) dengan penuh bergaya.

Lebih membanggakan, atlet kelahiran Segamat itu turut memecahkan rekod temasya menerusi angkatan clean and jerk 152kg serta jumlah keseluruhan 273kg.

Bagaimanapun, Aniq tidak mempunyai banyak masa untuk menikmati masakan ibunya apabila hanya diberi kira-kira seminggu bersama keluarga sebelum kembali menjalani latihan.

"Tak ada rehat sebenarnya kerana walaupun saya balik ke Johor, saya tetap akan terus berlatih sebab selepas ini ada Sukan Asia," katanya.

Aniq kini mengalihkan sepenuh perhatian ke Sukan Asia Aichi-Nagoya September depan dengan sasaran memperbaharui rekod kebangsaan dan mencabar pencabar bertaraf Olimpik di sana.

"Saya nak pecahkan lagi rekod kebangsaan dan buat yang terbaik kerana semua pencabar bertaraf Olimpik, tetapi saya tetap akan cuba dapatkan pingat," katanya.