TEKONG utama negara, Syahir Rosdi 'mesti' berada dalam skuad Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya kerana kehadirannya dianggap senjata paling ampuh untuk mengembalikan kilauan emas sepak takraw negara.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan Syahir pulih sepenuhnya daripada kecederaan supaya sempat kembali mencapai prestasi terbaik sebelum temasya membuka tirai September depan.
"Kita juga harap tekong utama kita, Syahir Rosdi, akan pulih sepenuhnya dalam peringkat yang terakhir ini dan ada masa lagi untuk dia comeback selepas kecederaan yang dialami, malah dalam tempoh tak sampai dua bulan ini saya harap dapat lihat semula prestasi dia untuk memperbaiki kelemahan sebelum ini," katanya.
Menurut Sumali, PSM tetap memiliki pilihan sekiranya Syahir gagal pulih, namun beliau mengakui kehadiran tekong berusia 30 tahun itu membawa dimensi berbeza kepada kekuatan keseluruhan skuad negara.
"Kalau ditakdirkan memang Syahir tak boleh main, kita ada tekong-tekong yang semakin meningkat dan mampu bersaing dengan tekong nombor satu dunia, tetapi kita masih mengharapkan Syahir ada dalam skuad itu sebab Syahir ni ada kelebihan tersendiri yang memang Thailand pun takut dengan dia," ujarnya lagi.
Beliau berkata, pengalaman, ketenangan dan kemampuan Syahir mengubah rentak permainan pada saat kritikal bukan sahaja memberi kelebihan dari sudut teknikal, malah meningkatkan keyakinan seluruh pasukan ketika berdepan lawan-lawan utama Asia.
"Kadang-kadang bila prestasi semasa perlawanan berlangsung sedikit menurun, di situlah nanti kita akan buat perubahan drastik, tetapi secara gambarannya kalau ada Syahir dia akan memberi kesan dan impak positif kepada kita dari segi psikologi," katanya.
Sumali turut mendedahkan Syahir sendiri sudah menghubunginya dan menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk bangkit selepas aksi kurang memuaskan di Piala Dunia, sekali gus menjadikan Sukan Asia pentas terbaik bagi membuktikan statusnya masih sebagai tekong nombor satu dunia.
"Secara peribadi memang dia ada call saya dan saya nampak kesungguhan yang boleh menentukan prestasi dia sendiri, sudah pasti Syahir pun ada azam serta semangat selepas persembahan yang kurang baik di World Cup dan ini adalah medan yang sesuai untuk dia buktikan bahawa dia masih level tekong nombor satu dunia," katanya.
Kali terakhir Malaysia menghadiahkan pingat emas sepak takraw di pentas Sukan Asia adalah pada edisi Jakarta-Palembang 2018 menerusi acara regu, sekali gus menyaksikan kem negara kini memasang tekad untuk menamatkan penantian hampir lapan tahun di bumi Jepun.
Sehubungan itu, PSM meletakkan sasaran memburu dua pingat emas menerusi acara regu dan berpasukan di Aichi-Nagoya, dengan kehadiran Syahir dilihat mampu menjadi pemangkin utama dalam misi menewaskan pencabar tradisi seperti Thailand dan mengembalikan Malaysia ke puncak sepak takraw Asia.