JUARA kebangsaan sanda, Khatijah Ubay membuktikan peralihan daripada gelanggang wushu ke pentas seni bela diri campuran (MMA) bukan satu pertaruhan sia-sia apabila muncul juara kategori bawah 52 kilogram (kg) wanita bawah 21 tahun pada Kejohanan GAMMA MMA Asia 2026 di Putrajaya.
Kejayaan pada penampilan sulung itu sekali gus meletakkan nama atlet muda negara berkenaan sebagai antara prospek paling menyerlah dalam sukan MMA selepas berjaya menundukkan pencabar terbaik Asia di laman sendiri.
Khatijah mengakui dia berasa bangga apabila berjaya meraih gelaran pada penyertaan pertamanya dalam kejohanan berkenaan yang menghimpunkan barisan atlet elit rantau ini.
"Saya rasa bangga dan terima kasih kepada rakan latihan serta pasukan saya yang sentiasa bersama sepanjang persiapan," katanya.
Menurut Khatijah, minat mendalam terhadap MMA mendorongnya menggabungkan latihan sanda dan jiu-jitsu sejak menyertai BCG pada 2019 sebagai persediaan memburu kejayaan lebih besar.
Katanya, dia pada awalnya bermula dalam acara taolu wushu, namun mengambil keputusan beralih ke sanda selepas merasakan disiplin itu lebih sesuai dengan corak pertarungan dan cita-citanya bergelar juara.
"Saya mula dengan wushu yang guna pedang, tetapi kemudian saya pindah ke sanda kerana saya rasa itu lebih sesuai dan saya memang mahu jadi juara," katanya.
Keberanian membuat perubahan akhirnya membuahkan hasil apabila asas kukuh dalam sanda dipadukan dengan kemahiran jiu-jitsu menjadi senjata utama untuk menawan gelaran MMA Asia.
Kejohanan bersejarah itu turut mencipta rekod apabila Malaysia menjadi tuan rumah edisi pertama Kejohanan GAMMA MMA Asia yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 15 negara serta pegawai dan delegasi daripada 21 negara di Putrajaya.
Kejayaan Khatijah bukan sahaja menghadiahkan detik manis buat kem negara, malah membuktikan atlet yang lahir daripada disiplin seni bela diri tradisional seperti sanda mampu muncul juara di pentas MMA antarabangsa jika diberi pendedahan dan platform yang tepat.
Skuad negara meraih 3 pingat emas, 3 perak dan 8 gangsa untuk menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.