PERKEMBANGAN baharu kes kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, menyaksikan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan. Ketiga-tiga mereka dipercayai bersekolah di sekolah yang sama dengan Irene dan ditahan beberapa jam selepas mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam dewan sekolah pada petang Sabtu. Daripada tiga pelajar itu, seorang direman selama enam hari selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Ahad. Perintah reman dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 16 tahun itu ditahan sekitar jam 7 malam Sabtu di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar milik suspek bagi membantu siasatan. Suspek juga dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Sementara itu, Irene ditemukan dengan beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi. Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, manakala motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan. Buat masa ini, tumpuan adalah untuk merungkai apa sebenarnya berlaku kepada Irene sebelum dia ditemukan tidak bernyawa di dalam dewan sekolah.




