REMAJA perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal sepatutnya pulang selepas menghadiri kelas tambahan di sekolah pada Sabtu. Namun apabila motosikalnya masih berada di sekolah dan kelibatnya tidak kelihatan, keluarga mula menyedari sesuatu tidak kena. Sekitar jam 5.30 petang, dua rakan Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya datang ke rumah untuk bertanyakan keberadaannya. Neneknya, Jameyah Rabani, 66, kemudian bersama ahli keluarga dan rakan Fiya pergi ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah untuk mencarinya. Fiya ,16, akhirnya ditemukan di dalam dewan sekolah dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan. Menurut neneknya, Fiya sempat memandang wajahnya ketika dipangku sebelum keadaannya merosot.

Polis kini menjalankan siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat itu. Pasukan forensik dan Unit K-9 turut dilihat berada di lokasi bagi membantu siasatan. Namun sehingga kini, punca sebenar kematian, bagaimana kecederaan berlaku dan siapa yang bertanggungjawab masih belum disahkan pihak berkuasa. Polis Johor turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi ketika siasatan masih berjalan. Yang diketahui, Fiya merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah dan rakan-rakannya menyifatkannya sebagai seorang yang fokus dalam pembelajaran serta aktif dalam aktiviti sekolah. Dia juga dikatakan mempunyai potensi memperoleh keputusan 9A dalam SPM. Lebih menyentuh hati, Fiya pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor seperti arwah ibunya. Namun cita-cita itu terhenti sebelum sempat direalisasikan.

Buat masa ini, persoalan paling besar bukan untuk membuat kesimpulan siapa bersalah. Sebaliknya, bagaimana Fiya boleh berakhir di dalam dewan sekolah selepas menghadiri kelas tambahan, dan apa yang berlaku pada tempoh sebelum dia ditemui?, Jawapannya kini berada dalam siasatan polis, bukti forensik dan keterangan saksi. Sehingga ada pengesahan rasmi, segala dakwaan mengenai suspek, buli atau motif wajar dianggap sebagai spekulasi.



