Shereen emas, Umar perak di New Taipei City

SHEREEN Samson Vallabouy dan Umar Osman meneruskan kebangkitan olahraga negara apabila menghadiahkan pingat emas serta perak pada Kejohanan Olahraga New Taipei City 2026 di Taiwan, hari ini.

Shereen mempamerkan larian bertenaga dalam acara 400 meter (m) wanita untuk muncul juara dengan catatan masa 52.73 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat dari Sri Lanka, Jithma Shenari Wijethunga yang meraih perak menerusi catatan 53.16s.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Australia, Sophia Gregorevic selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 53.86s.

Catatan Shereen itu bagaimanapun msih jauh dari rekod kebangsaan miliknya, 51.80s yang dicipta pada 2023.


Umar pula terus mengukuhkan reputasinya sebagai pelari 400m utama negara apabila meraih pingat perak menerusi catatan 46.42s, hanya dibezakan 0.20s di belakang pemenang emas dari Australia, Brenton Kerr.

Lebih mengagumkan, Umar terlebih dahulu mencipta rekod kebangsaan baharu pada separuh akhir dengan catatan 45.73s, sekali gus memadam rekod lama 46.09s yang dilakarnya di Sukan Universiti Dunia Chengdu 2023.