RCB dan UMA Racing terus memperkukuhkan komitmen dalam pembangunan sukan permotoran apabila mengumumkan barisan atlet serta duta jenama bagi musim 2026 yang terdiri daripada pelumba bertaraf dunia, juara serantau dan bakat muda negara.
Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik kedua-dua jenama berkenaan untuk melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti selain mengangkat nama Malaysia di pentas perlumbaan antarabangsa.
Barisan atlet dan duta yang diperkenalkan merangkumi pelumba Moto2, David Alonso Gomez, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, juara Asia Superbike 1000 (ASB1000), Hafizh Syahrin Abdullah, Kasma Daniel Kasmayudin, Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin serta bakat muda sensasi, Qabil Irfan Azlan.
Pengurus Besar Jenama RCB dan UMA Racing, Marcus Leong berkata, pemilihan atlet serta duta itu bukan hanya berdasarkan pencapaian di litar, malah turut mengambil kira karakter, profesionalisme dan kemampuan mereka menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
Menurutnya, sukan permotoran bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya membentuk nilai ketabahan, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
“Setiap pelumba yang kami sokong mewakili nilai semangat, ketekunan dan profesionalisme yang menjadi teras kepada RCB dan UMA Racing.
“Menerusi kerjasama, tajaan produk serta sokongan berterusan, kami mahu memberikan keyakinan dan sumber terbaik untuk membantu mereka mencapai prestasi maksimum,” katanya pada majlis pengumuman barisan atlet dan duta 2026, pada Khamis.
Beliau berkata, RCB dan UMA Racing akan terus menyediakan sokongan kewangan, bantuan teknikal serta komponen berprestasi tinggi bagi membantu pelumba memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan perlumbaan.
Katanya, pendekatan jangka panjang itu membuktikan kesungguhan kedua-dua jenama dalam membangunkan bakat di setiap peringkat karier, daripada pelumba muda hingga juara berpengalaman.
Dalam masa sama, Marcus menjelaskan RCB dan UMA Racing turut memainkan peranan penting menyokong pasukan yang bersaing dalam MotoGP, Moto2, Moto3, WorldSBK, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Cub Prix Malaysia.
Beliau berkata, sokongan itu kini diperluaskan ke platform baharu seperti FIM Harley-Davidson Bagger World Cup dan Ducati V2 Challenge bagi memastikan ekosistem perlumbaan terus berkembang.
Sementara itu, Hafizh yang juga atlet RCB serta duta UMA Racing mengakui sokongan berterusan diterimanya sejak sekian lama menjadi antara faktor penting dalam perkembangan kariernya di peringkat antarabangsa.
“RCB sentiasa bersama saya dalam pelbagai fasa karier perlumbaan dan saya berterima kasih kerana dapat meneruskan perjalanan ini bersama mereka, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi pelumba masa depan,” katanya.