Hakim Danish bawa bekalan 'mahal' di Hungary

Hakim Danish berkata, saingan sengit di Mugello terutama ketika lima pusingan terakhir memberikan banyak pengajaran penting mengenai pengurusan perlumbaan, strategi dan ketenangan ketika berada di bawah tekanan.

“Banyak pengajaran yang saya peroleh di Itali, terutamanya dalam aspek menguruskan perlumbaan dengan lebih matang selain kekal tenang di atas litar,” katanya.

Menurutnya, pengalaman berada dalam kelompok hadapan buat kali kedua di Mugello membolehkannya memahami dengan lebih baik cara mengendalikan jentera ketika fasa kritikal perlumbaan.

"Saya banyak belajar cara untuk mengendalikan jentera pada lima pusingan terakhir serta bersaing dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia yang sangat pantas,” katanya.

Beliau mengakui pengalaman itu menjadi suntikan motivasi terbaik untuk menghadapi cabaran baharu di Hungary meskipun belum pernah berlumba di Litar Balaton Park sebelum ini.

“Matlamat saya adalah untuk tampil kompetitif sejak awal lagi, bermula daripada sesi latihan bebas pertama (FP1) sehinggalah hari perlumbaan pada Ahad nanti,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi pusingan kelapan musim ini, Hakim Danish terus kembali ke Sepanyol sejurus tamat perlumbaan di Mugello bagi meneliti rakaman video serta melakukan analisis terperinci untuk memperbaiki prestasi tunggangannya.

Selepas tujuh pusingan, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan Moto3 dengan 43 mata selain sudah merekodkan empat penamat dalam kelompok 10 terbaik musim ini.