Foto:BAM
MALAYSIA mengesahkan sekurang-kurangnya satu tempat di final beregu lelaki kejohanan Masters Malaysia 2026 apabila pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal membuat perhitungan sesama sendiri dengan gandingan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di separuh akhir di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.
Aaron-Wooi Yik melangkah bergaya ke kelompok empat terbaik selepas mudah menundukkan beregu muda China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-15, 21-16 dalam tempoh 34 minit pada aksi suku akhir.
Juara dunia 2022 itu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai tempo permainan sejak awal sebelum menutup kemenangan straight set tanpa memberi banyak ruang kepada lawan.
Aaron mengakui pengalaman menjadi senjata utama mereka untuk menyerap corak permainan pantas lawan yang tampil agresif sepanjang perlawanan.
“Mereka memang bermain sangat laju kerana masih muda dan banyak menggunakan kelajuan serta kekuatan, namun kami cuba tetapkan permainan sendiri dengan lebih tenang dan konsisten, dan saya rasa itu menjadi hari ini,” kata Aaron mengulas aksi suku akhir.
Dalam satu lagi perlawanan, Sze Fei-Izzuddin pula terpaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-17, 16-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit untuk terus menghidupkan cabaran negara.
Izzuddin berkata, mereka berjaya mengawal tekanan dengan baik ketika detik genting selain menganggap sorakan penyokong tuan rumah sebagai pembakar semangat untuk menekan lawan.
Wooi Yik mengakui pertemuan separuh akhir itu dijangka berlangsung sengit biarpun mereka memiliki rekod kemenangan 6-2 ke atas Sze Fei-Izzuddin, namun menegaskan perkara paling penting adalah Malaysia sudah memiliki satu wakil beregu lelaki di pentas final.
Sementara itu, satu lagi pasangan Arif Junaidi-Yap Roy King turut menempab slot ke separuh akhir selepas mengetepikan cabaran pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-19 dalam tempoh 33 minit.
Mereka bakal berdepan gandingan ke-18 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.