PEMAIN perseorangan wanita negara, K.Letshanaa mula menampakkan peningkatan prestasi apabila aksi cemerlang di Masters Malaysia memberi keyakinan baharu buatnya untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
Pemain ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun terpaksa akur langkahnya terhenti di suku akhir selepas tewas kepada wakil Jepun, Hina Akechi 21-19, 12-21, 10-21 dalam pertarungan selama 57 minit di Arena Unifi, hari ini.
Meskipun kecewa gagal melangkah lebih jauh, Letshanaa tetap menganggap kejohanan di gelanggang sendiri itu sebagai satu lagi proses pembelajaran penting dalam usahanya memperkukuhkan permainan.
“Ia satu perlawanan yang baik cuma saya sedikit kecewa sebab tidak dapat menang tetapi dia bermain sangat baik dan konsisten hari ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu mengakui dia sedikit terganggu selepas gagal menamatkan set pertama lebih awal ketika berada di kedudukan selesa untuk mendahului perlawanan.
“Mungkin saya terlalu mahu cepat habiskan perlawanan ketika set pertama dan itu sedikit mengganggu rentak saya,” katanya.
Menurutnya, Akechi turut bijak menukar corak permainan selain mengekalkan konsistensi hingga menyukarkannya mencari rentak pada dua set berikutnya.
Walaupun tersingkir, Letshanaa tetap mencuri perhatian selepas mencipta kemenangan terbesar dalam kariernya dengan menewaskan pemain nombor sembilan dunia dari Jepun, Tomoka Miyazaki pada aksi pusingan kedua semalam.
Selepas ini, Letshanaa akan mengalihkan fokus ke Terbuka Singapura minggu depan dengan dia dijadual bertemu bekas juara Olimpik dari China, Chen Yu Fei di pusingan pertama.
“Setiap kali bermain dengan pemain top dunia ia adalah pengalaman dan pembelajaran yang sangat baik untuk saya dan saya rasa teruja dapat bermain menentang Chen Yu Fei minggu depan,” katanya.