BUKAN mudah menguruskan atlet berusia, apatah lagi legenda seperti Datuk Azizulhasni Awang yang semakin menghampiri penghujung kariernya di pentas dunia.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan jaguh berbasikal trek negara itu tidak wajar diberi tekanan untuk terus berlumba sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Katanya, keputusan mengenai masa depan Azizulhasni yang kini berusia 38 tahun perlu diserahkan sepenuhnya kepada dirinya bersama keluarga.
“Dia akan berlumba sehingga Sukan Asia dan selepas itu dia perlu berbincang dengan keluarganya mengenai apa yang ingin dilakukan,” kata bekas naib presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu.
Khairy berkata, adalah tidak adil untuk memaksa Azizulhasni meneruskan perjuangan hingga 2028 memandangkan pengorbanan besar yang telah dicurahkannya selama ini.
“Saya tidak fikir adil untuk kita memberi tekanan kepadanya kerana dia hampir 40 tahun dan sudah banyak mengorbankan masa bersama keluarga,” ujarnya lagi.
Azizulhasni sebelum ini merancang untuk bersara selepas Olimpik Paris 2024 namun memilih menangguhkannya sehingga tamat Sukan Asia Aichi-Nagoya, Oktober ini.
Keputusan menjadi pelumba profesional bebas sejak April tahun lalu nyata membuahkan hasil apabila dia terus membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.
Dia mencuri tumpuan apabila menewaskan bintang Britain, Matthew Richardson serta juara dunia Harrie Lavreysen untuk meraih dua emas keirin dan dua gangsa pecut individu dalam Siri Piala Dunia Trek UCI musim ini.
Namun di sebalik kejayaan itu, Khairy mengingatkan bahawa cabaran mengurus atlet berusia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pendekatan berbeza.
“Mereka lebih terdedah kepada kecederaan dan tempoh pemulihan juga lebih lama, jadi sokongan sains sukan amat penting jika dia mahu terus berlumba,” katanya.