MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan prestasi memberangsangkan di pentas antarabangsa, apabila tlet berusia 22 tahun itu mencatat masa 10.08 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada kejohanan East Coast Relay di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Namun, catatan berkenaan tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi susulan bantuan angin +4.1 meter sesaat (m/s) melebihi had dibenarkan +2.0 m/s.
Dalam aksi saringan pertama itu, Azeem berdepan saingan sengit sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
Lebih menarik, masa 10.08s yang dilakukannya meletakkan Azeem di tangga keempat keseluruhan daripada 59 pelari yang mengambil bahagian.
Pelari Universiti Tennessee, Traunard Folson muncul terpantas dengan catatan 9.93s diikuti Kanyinsola Ajayi (9.99s) dan Omari Lewis (10.05s).
Walaupun dibantu angin, catatan itu tetap memberi petanda positif terhadap peningkatan prestasi konsisten Azeem.
Sebagai rekod, Azeem sebelum ini mencatat 10.17s di kejohanan Tom Jones Memorial bulan lalu, sekali gus menjadikan peningkatan kali ini sebagai tonik terbaik untuknya memburu masa lebih pantas selepas ini.




