DATUK Amarjit Singh Gill terus mendapat kepercayaan penuh apabila menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2026-2030.
Kemenangan itu hadir hanya dua hari selepas beliau mengharumkan nama negara dengan kejayaan penganjuran Kejohanan Trek Piala Dunia UCI 2026 di Velodrom Nasional Nilai.Pengesahan kemenangan tanpa bertanding itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Exco Khas PKBM yang berlangsung di Bandar Baru Nilai, Khamis lalu sebaik sahaja pencalonan ditutup.
Pemangku Setiausaha PKBM, Norhazlee Md Zaki mengesahkan Amarjit dari Perak memenuhi semua syarat pencalonan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pemilihan Ahad ini.
Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Norazman Datuk Abu Samah dari Melaka dan Mohd Saiful Abdul Jalil dari Putrajaya.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, lapan calon bakal merebut lima kerusi yang dipertandingkan dalam AGM berkenaan.Mengulas kemenangan itu, Amarjit menyifatkan mandat diterima sebagai bukti sukan berbasikal negara berada di landasan tepat menuju kecemerlangan bertaraf dunia.
Beliau turut menegaskan sasaran utama kepemimpinannya adalah membida Kejohanan Dunia Trek, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai kuasa besar baharu berbasikal di pentas antarabangsa.




