PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bola sepak negara apabila menyertai Liga Remaja Kebangsaan NFDP 2026 sebagai platform strategik mencungkil bakat muda.
Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed melihat penyertaan itu bukan sekadar memenuhi kalendar pertandingan, sebaliknya misi besar memperkasakan ekosistem pembangunan akar umbi secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, pentas kompetitif seperti NFDP menjadi medium terbaik untuk membentuk pemain muda berkualiti melalui pendedahan konsisten dan berstruktur.
“Ini peluang besar untuk kita merancakkan pembangunan remaja dan memberi lebih ramai pemain muda ruang beraksi serta berkembang,” katanya.
Saingan Liga Remaja Kebangsaan 2026 dijadual berlangsung dari Mei hingga November di Akademi Mokhtar Dahari, menjanjikan medan sengit buat bakat baharu mencipta nama.PBMM akan mempertaruhkan tiga pasukan dalam kategori bawah 12 (B-12), B-15 dan B-16 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan berperingkat mereka.
Prime Football Club bakal menggalas cabaran B-12 manakala X Prime Football Team mewakili B-15, dengan kedua-duanya berpangkalan di Shah Alam.
Bagi kategori B-16, Kuantan Soccer Kids (KSK) dilihat mampu mencuri tumpuan, sekali gus menyuntik keyakinan PBMM bahawa laluan pembangunan ini mampu melahirkan pemain yang bersedia melangkah lebih jauh hingga ke pentas antarabangsa.




