SILAT bakal kembali ke pentas terbesar Asia apabila hampir pasti dipertandingkan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan rundingan mencapai 92 peratus persetujuan untuk dimasukkan.
Perkembangan itu disahkan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang memaklumkan hanya menunggu kelulusan akhir selepas mesyuarat Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Mei depan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya sudah menerima isyarat jelas bahawa sukan warisan itu hampir pasti kembali ke temasya berprestij berkenaan.
“Kita dimaklumkan hampir 92 peratus silat telah diterima untuk dipertandingkan di Jepun,” katanya, pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Gombak.
Menurutnya, semua negara Asia juga sudah diminta membuat persediaan awal, sekali gus memberi gambaran bahawa kemasukan silat hanya menunggu pengesahan rasmi.

“Kita faham semua negara sudah bersiap sedia dan selepas mesyuarat Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Mei nanti, dari segi teknikal PESAKA sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Mengulas persiapan atlet, beliau menjelaskan penyertaan ke Kejohanan Terbuka Belgium dan Kejuaraan Asia di Vietnam menjadi platform penting sebagai ‘test match’ sebelum turun ke Sukan Asia.
“Kita ada rangkaian pertandingan lengkap termasuk Belgium, Kejohanan Asia dan latihan luar bagi memastikan atlet benar-benar bersedia menghadapi cabaran di Jepun,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada Temasya Hangzhou, silat tidak dipertandingkan membuatkan megara kehilangan beberapa pingat emas berharga.
Dalam masa sama, Megat Zulkarnain menegaskan PESAKA turut memberi perhatian serius terhadap isu pengadilan agar kontroversi seperti di Sukan Asia Jakarta 2018 tidak berulang.
“Kita sudah suarakan dengan tegas supaya mutu pengadilan dipertingkatkan dan saya percaya di Jepun nanti pertandingan akan lebih adil serta profesional,” katanya.




