Mental 'besi' Hakim Danish pastikan Negaraku bergema di Brno

FOTO | ZK RACING

KEKUATAN mental luar biasa dipamerkan Hakim Danish Ramli menjadi senjata utama pelumba muda negara itu untuk melakar kemenangan sensasi pada Grand Prix (GP) Republik Czech Moto3 di Litar Automotodrom Brno pada Ahad.

Hakim Danish membuktikan tekanan bukan penghalang apabila bangkit daripada penalti 12 petak grid untuk muncul juara pada penampilan sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad Malaysia untuk kembali berdiri megah di podium tertinggi MotoGP selepas pencapaian bersejarah Khairul Idham Pawi di Sachsenring pada 2016, juga menerusi pwrlumbaan Moto3.


Lebih membanggakan, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hadir ke perlumbaan dengan reputasi cemerlang selepas dua kali memecahkan rekod terpantas sepanjang zaman Litar Brno sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Namun hukuman yang memaksanya bermula dari petak ke-14 nyata tidak menggugat keyakinan pelumba kelahiran Terengganu itu yang kekal tenang merencana kebangkitan dari belakang.

Sejurus lampu hijau dipadamkan, Hakim Danish mempamerkan tunggangan matang apabila pantas menyelinap ke kelompok hadapan sebelum berada dalam kalangan lima pelumba terbaik seawal pusingan keempat.

Walaupun sempat tercicir ke kedudukan ketujuh, Hakim Danish terus menunjukkan ketahanan mental tinggi dengan kembali merapatkan jurang sebelum memintas beberapa pencabar utama untuk berada dalam kelompok podium.

Persaingan sengit dengan Brian Uriarte, David Almansa dan Maximo Quiles pada separuh kedua perlumbaan turut berjaya diharungi dengan penuh disiplin tanpa melakukan kesilapan yang merugikan.

Segala usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Hakim Danish bijak merebut peluang pada pusingan terakhir untuk memintas Quiles dan Uriarte yang sedikit terkeluar daripada garisan perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.


Hakim Danish berkata kemenangan itu cukup istimewa kerana hadir selepas beliau dan pasukan berdepan pelbagai cabaran sepanjang hujung minggu perlumbaan di Brno.

"Ini adalah kemenangan yang sangat istimewa buat saya, pasukan serta seluruh penyokong Malaysia kerana saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kerja keras yang kami lakukan bersama," katanya.

Ujarnya lagi, strategi kekal bersama kelompok hadapan sambil menunggu peluang memintas pada pusingan terakhir menjadi kunci kejayaan sebelum menghadiahkan kemenangan bersejarah itu kepada pasukan, penaja, keluarga serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan.