Lee Qian, Mirza kuasai takhta Bawah 16 tahun

FOTO | BAM

CHONG Lee Qian dan Mirza Batrisyia Aghnia Nazri mengesahkan status antara prospek paling menyerlah negara apabila muncul juara perseorangan lelaki dan wanita Bawah 16 Tahun pada saingan AFFIN 100PLUS Junior Elite Tour Finals 2026 di Stadium Juara.

Lee Qian yang sebelum ini melalui laluan lebih mudah di peringkat kalah mati dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan rakan sepasukan BAM, Ng Hao Tong, dalam pertarungan tiga set yang berlanjutan hampir sejam.

Hao Tong yang semakin meningkat prestasinya sepanjang kejohanan terlebih dahulu mencuri set pembukaan 21-18 menerusi corak permainan kemas dan penuh disiplin.

Namun, Lee Qian mempamerkan mentaliti juara apabila bangkit dengan aksi lebih agresif untuk menguasai set kedua 21-8 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Momentum itu terus memihak kepadanya apabila dia menutup cabaran Hao Tong 21-11 pada set ketiga untuk merangkul gelaran kebangsaan pertamanya tahun ini.


Dalam saingan wanita, Mirza Batrisyia turut diuji hingga ke had maksimum sebelum menewaskan seorang lagi pemain BAM, Chua Jing Xuan, dalam pertarungan sengit selama 65 minit.

Mirza Batrisyia yang mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang minggu bermula garang dengan kemenangan 21-12 pada set pertama sebelum Jing Xuan bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-14 pada set kedua.

Ketika tekanan memuncak dalam set penentuan, Mirza Batrisyia membuktikan kualitinya dengan permainan lebih sabar dan tersusun untuk melakar kemenangan 21-16 serta menjulang kejuaraan.

Sementara itu, pasangan BAM Teoh Chong Yee-Tze Han Wong menjuarai beregu lelaki Bawah 16 Tahun selepas menewaskan wakil Selangor, Max Foo Jin Tao-Yong Kiat Song, 21-7, 21-14 manakala Leong Hwee Ling-Teoh Min Yi melengkapkan dominasi BAM apabila merangkul gelaran beregu wanita menerusi kemenangan 21-13, 21-10 ke atas gandingan Putrajaya, Iffah Husna Mohd Nasir Nur-Safia Mohd Ishraf Nuha.