Berani Berubah Demi Formula Emas

PERCATURAN berani merombak dua beregu lelaki utama negara dilihat sebagai langkah strategik awal kem badminton Malaysia dalam usaha membina kombinasi paling ampuh menjelang misi memburu emas sulung di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, keputusan memisahkan pasangan utama dibuat selepas menilai prestasi semasa yang belum mencapai tahap diharapkan sepanjang musim ini.

Menurutnya, langkah itu adalah perkara biasa dalam arena beregu antarabangsa dan turut diamalkan kuasa besar badminton dunia bagi mencetuskan impak baharu kepada prestasi pemain.

"Kalau hasilnya begini terus (statik), kita mesti cuba buat perubahan kerana kalau tidak dicuba, siapa yang tahu sama ada ia boleh jadi lebih baik atau tidak," katanya, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Herry mengakui rombakan itu hadir bersama risiko besar ketika Malaysia semakin menghampiri kitaran kelayakan Olimpik, namun beliau percaya keberanian membuat keputusan adalah kunci untuk keluar daripada zon selesa.

Katanya, negara-negara lain juga terus berevolusi dan Malaysia tidak boleh bergantung kepada formula lama jika mahu kekal bersaing di pentas tertinggi dunia.

Beliau menjelaskan pemisahan sementara itu turut membuka ruang untuk menilai keserasian baharu serta menghidupkan semula elemen kejutan yang mungkin semakin berkurangan dalam pasangan sedia ada.

"Kita akan cuba beberapa kejohanan dahulu sebelum membuat keputusan sama ada teruskan kombinasi baharu atau kembali kepada gandingan asal berdasarkan keputusan yang diperoleh," katanya.Herry turut mendedahkan semua pemain memberikan kerjasama baik sepanjang latihan dengan setiap kombinasi baharu menunjukkan perkembangan positif tanpa sebarang masalah dari sudut komunikasi atau keserasian awal.

Mengulas pemilihan pasangan, beliau menegaskan faktor utama bukan ketinggian pemain tetapi kesesuaian gaya permainan, khususnya kemampuan mengimbangi peranan di bahagian depan dan belakang gelanggang untuk membentuk gandingan yang benar-benar mantap.

Sebagai sebahagian daripada rombakan besar-besaran beregu lelaki negara, BAM turut menggabungkan Aaron bersama Aaron Tai selain membentuk pasangan baharu Tee Kai Wun-Yap Roy King serta Arif Junaidi-Kang Khai Xing.

Kesemua pasangan itu bersama Man Wei Chong-Soh Wooi Yik akan diuji dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka China, Terbuka Taiwan dan Korea Masters sebagai sebahagian usaha melahirkan gandingan terbaik menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.