SKUAD remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) mencuri tumpuan cemerlang dalam saingan peringkat kumpulan di Kejohanan AFFIN-100 PLUD JRT Finals 2026, Bukit Kiara, dengan deretan kemenangan meyakinkan yang mengukuhkan status mereka sebagai antara pencabar utama kejohanan.
Momentum kemenangan itu diteruskan apabila lapan wakil perseorangan BAM berjaya melangkah bergaya tanpa melepaskan walau satu set kepada lawan masing-masing.
Dalam perseorangan lelaki, Derrick Leung menewaskan wakil Kuala Lumpur, Tang Wei Lee 21-12, 21-10 manakala Wong Yin Heng tidak berdepan masalah untuk menundukkan Ho Jia Yu dari Melaka 21-4, 21-12.
Marcus Hang turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan pemain Pulau Pinang, Yeoh Han Son 21-16, 21-14, sementara Chong Lee Qian tampil lebih dominan apabila menyingkirkan Yang Zhen Yu dari Negeri Sembilan 21-12, 21-12.
Biarpun menang selesa, Lee Qian mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasinya dan menganggap kekuatan mental menjadi aspek utama yang perlu dipertingkatkan.
Menurutnya, pengalaman dipaksa beraksi hingga ke set penentuan dalam perlawanan terdahulu menjadi pengajaran berharga untuk kekal tenang serta mengelakkan tekanan menguasai permainan.
Dalam perseorangan wanita, Mirza Batrisyia sekali lagi membuktikan kematangannya apabila menewaskan wakil Kelantan, Zafirah Izza 21-15, 21-15 meskipun terpaksa menyesuaikan permainan dengan keadaan angin di dalam gelanggang.
Chua Jing Xuan turut menyerlah selepas mencatat kemenangan kedua ke atas lawan yang sama dari Selangor menerusi keputusan 21-9, 21-13, manakala Annabell Gan meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Hawa Johari dari Pulau Pinang 21-17, 21-14.
Walaupun sekali lagi meraih kemenangan, Annabell tetap merendah diri apabila mengakui aksinya belum mencapai tahap sebenar sambil menegaskan fokusnya kini hanya untuk menamatkan kejohanan dengan cemerlang dan memberikan yang terbaik seperti diharapkan barisan jurulatih.