INDUSTRI kecantikan tempatan kini berkembang pesat dan tidak lagi boleh dianggap sebagai perniagaan kecil-kecilan semata-mata. Sebaliknya, sektor ini telah menjadi sebahagian daripada megatrend global yang bernilai berbilion dolar dan menawarkan peluang besar kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Perkara itu dibincangkan dalam forum bertajuk “Beautypreneur: Global Business Trend” yang berlangsung di Demo Zone sempena International Beauty Expo (IBE). Forum berkenaan dikendalikan oleh Dr. Mohd Azly Zakaria dan menghimpunkan empat tokoh industri yang mewakili pelbagai aspek ekosistem kecantikan negara. Antara panel yang terlibat ialah Presiden Malaysian Bumiputera Make-Up Artists and Beauticians United Association (MBMUAA), Datin Rosnawati Salleh, Pengasas Dr. Anne Skincare, Dr. Nurhidayah Roslan, Pengarah MARA Negeri Sembilan, Rohana Jusoff, serta Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat MATRADE, Omar Mohd Salleh. Menurut Rosnawati, cabaran utama yang menghalang jurusolek dan penggiat industri kecantikan daripada berkembang adalah sikap terlalu selesa dengan keadaan semasa serta takut untuk melakukan perubahan.

“Ramai yang mempunyai bakat dan kemahiran, namun masih kurang keyakinan untuk menjadikan bidang ini sebagai perniagaan yang mampu berkembang ke tahap lebih tinggi. Sebab itu MBMUAA memberi fokus kepada latihan dan pensijilan bagi meningkatkan kredibiliti serta membantu wanita menjadikan kemahiran mereka sebagai sumber pendapatan yang mampan,” katanya. Sementara itu, Dr. Nurhidayah menegaskan bahawa inovasi dan penyelidikan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan produk tempatan mampu bersaing di pasaran global. Beliau berkata, pembangunan produk berasaskan sains dan penyelidikan (R&D) penting bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi yang selamat digunakan pengguna. “Usahawan perlu keluar daripada budaya menghasilkan produk tanpa nilai tambah. Produk yang mempunyai asas penyelidikan lebih mudah mendapat kepercayaan pengguna dan berpotensi memasuki pasaran antarabangsa,” katanya. Dalam pada itu, Rohana menjelaskan MARA menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi memperkukuhkan usahawan bumiputera dalam industri kecantikan. Menurut beliau, program seperti Beauty In Business menyediakan sokongan menyeluruh termasuk latihan pengurusan kewangan, kemudahan premis perniagaan pada kos rendah serta pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Profesional (SPiKE).

“Bantuan ini membolehkan pengusaha spa dan klinik estetik meningkatkan kapasiti operasi serta memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti Halal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Good Manufacturing Practice (GMP),” katanya. Bagi aspek pengembangan pasaran global pula, Omar menyeru usahawan kecantikan tempatan memanfaatkan pelbagai kemudahan yang ditawarkan MATRADE, termasuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang menyediakan dana sehingga RM300,000 sepanjang hayat syarikat. Beliau berkata, geran tersebut boleh digunakan untuk menampung kos pemasaran eksport termasuk penyertaan dalam ekspo perdagangan antarabangsa dan aktiviti promosi di luar negara. “MATRADE juga menyediakan platform padanan perniagaan (B2B) yang menghubungkan usahawan tempatan secara terus dengan pengimport dan pembeli antarabangsa,” katanya. Forum tersebut merumuskan bahawa kejayaan melahirkan usahawan kecantikan bertaraf global memerlukan gabungan empat elemen utama iaitu pembangunan bakat dan minda keusahawanan, inovasi berasaskan sains, sokongan pembiayaan serta akses kepada pasaran antarabangsa. Program berakhir dengan sesi soal jawab bersama peserta sebelum majlis penyampaian cenderahati kepada panelis yang disempurnakan oleh Naib Presiden MBMUAA, Nazariah Taharin. Melalui sokongan ekosistem yang komprehensif, industri kecantikan Malaysia dilihat mempunyai potensi besar untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan memperkukuhkan kedudukan produk kecantikan tempatan di pasaran dunia.




