Pecutan Azeem bersama Auburn Tiger berakhir di NCAA



PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menutup tirai kariernya bersama pasukan olahraga Universiti Auburn dengan penuh emosi selepas mengharungi empat tahun yang disifatkannya sebagai perjalanan luar biasa yang membentuk dirinya sebagai atlet dan individu.

Azeem berkata, sepanjang empat musim bersama Auburn, dia melalui pelbagai suka dan duka yang banyak mematangkan dirinya sejak hari pertama menyertai program olahraga universiti berkenaan.

"Apabila saya melihat kembali perjalanan ini, saya sedar betapa banyak perubahan dan perkembangan yang saya lalui sejak hari pertama menjadi sebahagian daripada pasukan ini," katanya menerusi perkongsian di akaun media sosial Instagram miliknya.

Menurut pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu, kehadiran rakan sepasukan, jurulatih dan tenaga sokongan yang berbakat serta penuh dedikasi menjadi pendorong utama untuk terus berusaha memperbaiki diri setiap kali turun ke trek.


"Dikelilingi individu yang berbakat dan bersemangat tinggi adalah sebab utama saya masih berdiri di sini hari ini dan terus mahu menjadi lebih baik setiap kali saya menjejakkan kaki ke trek," katanya.

Sepanjang tempoh bersama Auburn, Azeem berjaya meraih pelbagai podium, mencipta rekod dan melakar pelbagai pencapaian membanggakan di pentas olahraga kolej Amerika Syarikat.

Malah dia mengakui pengalaman beraksi dalam saingan kolej mengajarnya mengenai nilai kemenangan, kekalahan dan pentingnya mensyukuri setiap peluang yang diberikan.

"Olahraga kolej mengajar saya bagaimana untuk menang, bagaimana untuk menerima kekalahan dan bagaimana untuk sentiasa bersyukur dengan setiap peluang yang saya peroleh," katanya.

Walaupun tidak berjaya membawa pulang trofi pada kejohanan terakhirnya di peringkat kolej, Azeem tetap berbangga dengan segala yang dicapai bersama pasukan itu.

"Saya mungkin tidak membawa pulang trofi pada kejohanan terakhir saya, tetapi saya meninggalkan Auburn dengan penuh rasa bangga terhadap segala yang kami capai bersama," katanya.

Azeem turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan, keluarga, jurulatih dan terutama individu yang banyak membimbing perjalanan kariernya, Africantiger, yang sentiasa memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin pasukan.

Kini, dia bersedia membuka lembaran baharu dalam karier olahraga dengan tekad meneruskan impian yang masih belum selesai, sambil percaya bahawa langkah seterusnya itu akan membentuk dirinya menjadi atlet dan insan yang lebih baik pada masa depan.

"Saya tahu perjalanan selepas ini tidak mudah, tetapi tiada ganjaran tanpa risiko. Yang terbaik masih belum tiba dan perjalanan ini akan diteruskan," katanya.