Misi era baharu, 'Farhan & Co' diketepikan ke Piala Raja Thai

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersedia memulakan era baharu apabila mengetepikan apit kiri paling berpengalaman negara, Farhan Adam sambil mempertaruhkan gabungan pemain muda dan senior ke Piala Raja Thai di Bangkok, Ogos depan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang skuad negara dalam usaha membina pasukan lebih mantap menjelang Sukan Asia yang dianggap lebih penting berbanding kejohanan tahunan berkenaan.

Menurutnya, beberapa tonggak utama turut berdepan kecederaan menyebabkan beliau tidak mahu mengambil risiko membawa pemain yang belum pulih sepenuhnya ke gelanggang pertandingan.


"Yang pertama sekali kita nak bagi pendedahan kepada pemain muda dan ditambah lagi dengan kecederaan beberapa pemain utama, jadi kita tak nak ambil risiko kerana fokus utama kita adalah Sukan Asia," katanya.

Beliau menjelaskan pemain seperti Azlan Alias, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak (Sobey) masih dalam proses pemulihan, sekali gus menjadikan Piala Raja Thai platform terbaik untuk menguji barisan pelapis negara.

Ahmad Jais berkata kejayaan memecahkan rekod di Sukan SEA dan Piala Dunia sebelum ini menyebabkan skuad negara kini memberi tumpuan penuh untuk memburu kejayaan lebih besar di pentas Sukan Asia.

Lebih menarik, keputusan tidak menyenaraikan Farhan dibuat secara sedar kerana beliau mahu mempercepatkan proses peralihan generasi terutama di posisi apit kiri.

"Farhan memang kita tak bawa kerana kita mahu fokus kepada pemain muda dan kita nampak tiga pemain Sukma mempunyai potensi besar untuk melalui proses transisi ini," katanya.

Menurut Ahmad Jais, faktor usia serta penurunan prestasi menyebabkan beliau perlu membuat perancangan lebih awal bagi memastikan negara tidak ketandusan pengganti berkualiti pada masa depan.


"Secara jujur, Farhan mungkin setahun atau dua tahun sahaja lagi saya akan gunakan kerana umur dia sudah hampir 40 tahun dan saya perlu bersedia dari sekarang untuk menyediakan pemain muda yang boleh menggantikan tempatnya," ujarnya lagi.

Bagi kempen Piala Raja Thai kali ini, Malaysia menyenaraikan Muhammad Zarif Marican dan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong senior, Hafizul Hayazi Adnan serta Noraizat Nordin di posisi apit kanan, manakala Zuleffendi Sumari mengetuai bahagian apit kiri bersama barisan muda terdiri daripada Mohd Fahmi Khalid, Zuhri Muhammad Din, Muhammad Wazir Madi, Muhamad Nazrein Daniel M Kamal Mustafa, Jefri Ahmad, Zulfikri Wajawa, Fetri Azwadi dan Muhammad Kamarul Ezzad Kamarul Imran.