GENERASI muda kini semakin meninggalkan budaya hustle culture. Bekerja tanpa henti, tidur minimum dan “always-on” tidak lagi simbol kejayaan. Ramai memilih keseimbangan hidup, tetapi ada yang mempertikaikan: adakah ini satu langkah bijak atau sekadar alasan untuk malas?
Gen Z menekankan kesejahteraan mental. Burnout, kebimbangan, dan keletihan emosi mendorong mereka menetapkan sempadan antara kerja dan kehidupan. Fokus bukan lagi sekadar gaji atau pangkat, tetapi masa rehat, hobi, dan hubungan sosial kini sama penting.
Pengalaman COVID-19 membuka mata generasi ini bahawa produktiviti tidak semestinya bergantung pada masa kerja panjang. Model kerja dari rumah dan hybrid menunjukkan bahawa keseimbangan hidup boleh dicapai tanpa menjejaskan prestasi. Namun, ada yang berpendapat terlalu selesa boleh melemahkan daya saing dalam industri yang kompetitif.

Trend soft life dan slow living semakin popular di TikTok dan Instagram. Rutin santai, journaling, dan digital detox menjadi simbol gaya hidup baharu. Ramai memuji pendekatan ini kerana membantu mereka lebih tenang dan fokus. Tetapi sesetengah pihak menganggap ia satu alasan untuk mengelak cabaran.
Selain itu, Fenomena quiet quitting menunjukkan Gen Z melakukan kerja yang diperlukan sahaja, menolak budaya kerja lebih masa tanpa ganjaran setimpal. Mereka lebih cenderung memilih majikan yang menawarkan fleksibiliti dan budaya kerja sihat, menilai kejayaan bukan sekadar pendapatan tetapi juga kesejahteraan diri.

Kos sara hidup tinggi dan ketidaktentuan pasaran kerja memaksa generasi muda lebih berhati-hati. Banyak yang mengutamakan pendapatan pelbagai sumber, gaya hidup sederhana, dan membina kemahiran baharu.
Gen Z tinggalkan hustle culture bukan sekadar trend sementara. Ia mencerminkan perubahan nilai dalam kerja, kesejahteraan mental, dan gaya hidup. Sama ada bijak atau malas, satu yang pasti: definisi kejayaan kini berbeza daripada generasi terdahulu.




