KALAU selama ini budaya Hip Hop tempatan lebih sinonim dengan dunia underground, tetapi 24 Oktober ini mungkin menjadi antara detik paling besar apabila RAPAT Hip Hop Fest bakal berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil. Membawa tema “When Underground Takes The National Stadium”, festival ini dijangka menghimpunkan penggiat genre Hip Hop daripada pelbagai generasi, termasuk rapper, DJ, breakers dan bakat baharu dalam satu acara sepanjang hari. Antara perkara yang paling mencuri perhatian ialah segmen The National Cypher yang bakal menghimpunkan 100 rapper tempatan daripada pelbagai generasi, negeri dan bahasa.

Penampilan istimewa untuk barisan artis utama Fasa Pertama dibarisi Bunga, Forceparkbois dan K-Clique, selain barisan supporting acts serta bakat underground yang akan diumumkan secara berperingkat. Menurut Penganjur Acara Sherman Heng, idea RAPAT bermula daripada satu persoalan mudah iaitu sama ada Hip Hop tempatan mampu memenuhi Stadium Nasional. Bagi pihak penganjur, budaya Hip Hop Malaysia mempunyai komuniti dan bakat yang besar, namun sebahagian daripadanya masih berkembang dalam ruang underground. Justeru, festival ini dilihat sebagai peluang untuk membawa budaya tersebut ke pentas yang lebih besar selain mempertemukan generasi lama dengan bakat baharu. Menariknya, RAPAT bukan sekadar acara persembahan muzik. Festival yang berlangsung dari 11 pagi hingga 11 malam itu akan dibahagikan kepada lima zon iaitu The Main Stage, The Underground, The Street, The Market dan The Flavour/Rapat Bazaar.

The Underground akan menampilkan battle, freestyle dan cypher, manakala The Street pula membawa elemen breakdance, skateboarding serta sukan jalanan. Bagi peminat fesyen pula, The Market menyediakan ruang untuk jenama streetwear tempatan dan budaya sneakers. Sementara itu, Rapat Bazaar akan berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober di Parking C dengan pelbagai pilihan makanan tempatan. Tiket RAPAT GENG General Admission ditawarkan pada RM99, dengan akses ke kawasan General Admission sepanjang hari. Tiket rasmi mula dijual pada 28 September 2026 menerusi maiseat.com dan ticket2u.com.




