"BOLEH buka tudung tak?". Soalan ringkas itu kembali menjadi perhatian selepas Uyaina Arshad berkongsi di Threads bahawa masih ada pihak bertanya sama ada dia sanggup menanggalkan tudung untuk mengacarakan sesuatu acara. Dah 2026, tapi soalan macam ni masih ada? Uyaina turut mempersoalkan mengapa dirinya masih ditanya sedangkan terdapat ramai pengacara wanita lain yang tidak bertudung dan boleh dipertimbangkan. Perkongsian tersebut kemudian mencetuskan perbualan netizen mengenai pilihan peribadi, kehendak penganjur dan batas dalam dunia pekerjaan. Jadi, sebenarnya mereka mencari pengacara… atau mencari pengacara yang sanggup mengikut syarat tertentu? Apa yang menarik, isu ini bukan sekadar soal tudung. Ia membuka persoalan lebih besar tentang sejauh mana kehendak sesuatu acara patut mempengaruhi penampilan dan pilihan peribadi seseorang.

Dalam industri acara, penganjur sememangnya mempunyai konsep dan imej tersendiri. Tetapi kalau sesuatu penampilan itu memang menjadi syarat utama, bukankah lebih mudah memilih pengacara yang sudah memenuhi kehendak tersebut dari awal? Bagi seorang pengacara pula, tidak semua tawaran kerja perlu diterima. Ada perkara yang boleh disesuaikan mengikut keperluan acara, dan ada juga perkara yang menjadi batas peribadi seseorang. Sebab itu komunikasi awal sebenarnya penting. Kalau konsep acara memerlukan penampilan tertentu, perkara itu boleh dijelaskan sebelum tawaran diberikan supaya kedua-dua pihak tidak berada dalam situasi serba salah. Apa yang berlaku kepada Uyaina juga menunjukkan satu realiti dalam dunia pekerjaan tidak semua perkara yang boleh diminta, semestinya perlu diminta. Penganjur berhak memilih pengacara yang sesuai dengan konsep mereka. Dalam masa sama, pengacara juga berhak menentukan tawaran yang selari dengan prinsip dan pilihan dirinya. Kalau penganjur dah tahu seseorang bertudung, kenapa masih minta dia ubah penampilan? Kadang-kadang penyelesaian paling mudah memang tidak perlu rumit, cuma cari orang yang sesuai dengan konsep, bukan cuba ubah orang supaya sesuai dengan konsep.




