RCB terus harumkan nama Malaysia di pentas MotoGP

JENAMA komponen dan aksesori motosikal tempatan, Racing Boy (RCB) terus mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) hasil kejayaan menembusi pentas perlumbaan paling berprestij dunia, MotoGP.

Pengiktirafan itu diberikan selepas pemegang grip motosikal keluaran RCB, Nagamaki Handle Grip, menjadi produk rekaan tempatan pertama digunakan dalam saingan Kejohanan Dunia MotoGP.

Kejayaan berkenaan sekali gus membuktikan kemampuan teknologi serta kejuruteraan Malaysia untuk bersaing sebaris dengan pengeluar komponen terkemuka dunia.

Lebih membanggakan, produk itu bukan sahaja digunakan dalam kategori MotoGP, malah turut mendapat kepercayaan pasukan serta pelumba dalam kelas Moto2 dan Moto3.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MKA, Bruce Lee berkata, pengiktirafan MBOR itu menjadi satu detik bersejarah buat syarikat dan industri pembuatan negara.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP bersama produk terbaik dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Jenama RCB, Marcus Leong berkata, pengiktirafan tersebut menjadi bukti usaha berterusan syarikat itu dalam menghasilkan produk bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan pasukan perlumbaan di peringkat tertinggi.

“Berada dalam MotoGP sememangnya sesuatu yang membanggakan, namun, apabila usaha kami diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, ia menunjukkan segala pengorbanan dan kerja keras yang dilakukan selama ini tidak sia-sia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan RCB dan juga MBOR yang mengiktiraf pencapaian kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pengiktirafan tersebut di sini.

RCB Nagamaki Handle Grip dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kumpulan MKA sejak Disember 2020 dengan fokus utama terhadap ergonomik, kawalan dan prestasi pelumba ketika perlumbaan.


Reka bentuk unik produk itu diinspirasikan daripada pemegang pedang katana Jepun serta teknik lilitan tradisional tsukamaki yang meningkatkan keselesaan dan kestabilan ketika menunggang.

Selain membantu mengurangkan getaran dan keletihan tangan, teknologi Nagamaki Handle Grip turut menawarkan cengkaman lebih mantap serta maklum balas sentuhan lebih baik ketika motosikal dipacu pada kelajuan tinggi di pentas antarabangsa.