GANDINGAN baharu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Aaron Tai dilihat mampu menjadi projek jangka panjang Malaysia dengan sasaran utama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan setiap rombakan yang dilakukan perlu mempunyai hala tuju jelas dan bukannya sekadar percubaan jangka pendek.
Menurutnya, pasangan yang menunjukkan prestasi konsisten dan mampu meraih kejayaan di pentas antarabangsa wajar dikekalkan bagi memastikan pembangunan mereka tidak terganggu.
"Sebenarnya berhubung rombakan ini perlu ditanya kepada Herry tetapi untuk saya, kita mahu melihat gandingan Aaron Chia-Aaron Tai meletakkan sasaran ke arah Sukan Olimpik," katanya, ditemui di ABM.
Beliau berkata, sekiranya pasangan itu berjaya menjuarai kejohanan besar seperti Terbuka China serta berjaya mengekalkan rentak kemenangan secara konsisten, mereka tidak seharusnya diubah lagi.
"Katakanlah Aaron Chia-Aaron Tai menang mana-mana kejohanan dan kemudian menang dengan konsisten seperti Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dahulu, harus dikekalkan," katanya.
Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan beberapa kombinasi baharu termasuk Aaron Chia-Aaron Tai, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik, Tee Kai Wun-Yap Roy King serta Arif Junaidi-Kang Khai Xing bagi menghadapi siri kejohanan di China, Taiwan dan Korea.
Dalam masa sama, Rexy mahu semua pemain menerima cabaran baharu itu dengan sikap positif serta keberanian untuk memburu kejayaan lebih besar di pentas dunia.
"Itu yang saya cakap pemain-pemain perlu memiliki mentaliti juara, tidak kira sama ada dipecahkan ataupun tidak, kerana apabila mendapat pasangan lebih muda mereka perlu ada kemahuan untuk mencabar pingat emas Olimpik," katanya.