MALAM yang sunyi di Kampung Simah, Ketereh, bertukar menjadi saksi kepada satu tragedi yang sukar dibayangkan.
Di sebuah kawasan berhampiran sawah padi, dalam gelap yang hanya diterangi cahaya samar, seorang wanita muda ditemui terbaring kaku. Tubuhnya tidak lagi bernyawa. Mangsa baharu berusia 19 tahun, seorang penuntut kolej dengan masa depan yang sepatutnya masih panjang.
Namun, segalanya terhenti di situ.
Hasil siasatan awal mendedahkan sesuatu yang menggemparkan mangsa dipercayai mengalami 61 kesan tikaman, kebanyakannya di bahagian dada. Kekejaman itu bukan sahaja meragut nyawanya, malah meninggalkan persoalan besar tentang apa yang sebenarnya berlaku pada malam kejadian.
Polis percaya pembunuhan itu tidak berlaku di lokasi mayat ditemui. Sebaliknya, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan sawah tersebut, satu cubaan yang disyaki untuk mengaburi siasatan.

Dua daripada empat suspek kejadian
Beberapa jam sebelum tragedi itu, mangsa dikatakan keluar bersama dua individu yang dikenalinya. Detik-detik selepas itu kekal menjadi misteri yang kini cuba dirungkai pihak berkuasa.
Dalam perkembangan pantas, polis menahan empat individu bagi membantu siasatan termasuk dua remaja lelaki dan sepasang warga emas. Penahanan dilakukan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Ketereh dan Kota Bharu.
Turut dirampas ialah beberapa barangan penting, termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, selain kenderaan dan barangan peribadi lain yang mungkin menjadi kunci kepada penyelesaian kes ini.
Walaupun tangkapan telah dibuat, motif sebenar pembunuhan masih belum dapat dipastikan. Hubungan antara mangsa dan suspek juga masih dalam penelitian.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, satu kesalahan serius yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan.
Di sebalik angka “61 tikaman” itu, tersimpan sebuah kehilangan yang besar yang bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada masyarakat yang kini dihantui persoalan tentang keselamatan dan kepercayaan.
Dalam diam sawah yang menjadi lokasi penemuan itu, tinggal satu kisah yang belum selesai... menunggu keadilan ditegakkan.




