PEMAIN muda beregu wanita negara, Chong Jie Yu kini memikul cabaran besar apabila dipilih menggantikan Pearly Tan dalam skuad Piala Uber, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya di pentas elit.
Keputusan itu diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan penarikan diri Pearly akibat kecederaan belakang, dengan peluang berharga itu kini menjadi medan buat Jie Yu membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan BAM, pemain berusia 21 tahun itu dijadual menyertai kem latihan pusat skuad negara di Herning, Denmark bagi memperkemaskan persiapan menjelang kejohanan berprestij berkenaan.
Bergandingan bersama Vanessa Ng, Jie Yu yang kini berada di ranking ke-64 dunia dilihat memiliki potensi besar dan peluang ini menjadi platform terbaik untuknya menguji keupayaan menentang beregu elit dunia.

Pemain terbabit melengkapkan senarai 6 pemain beregu selain M Thinaah, Ong Xin Yee, Carmen Ting, Low Zi Yu dan Nuraqilah Maisarah.




